Header Ads

284 PATI ditahan dalam Ops Bersepadu di Sandakan - MKN

284 PATI ditahan dalam Ops Bersepadu di Sandakan - MKN


SANDAKAN, 14 Nov - Seramai 284 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) masing-masing terdiri terdiri daripada 244 warga Filipina dan 40 Indonesia berumur dalam lingkungan satu hingga 50 tahun berjaya ditahan dalam Operasi Bersepadu di Sandakan pada 13 November dan berakhir tengah hari ini, disini.

Menurut Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah, Rodzi Md Saad, operasi ini disertai pelbagai agensi khususnya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Ketua Menteri itu memeriksa seramai 614 orang disyaki PATI di sekitar daerah ini.

Beliau turut memaklumkan jumlah terkini iaitu seramai 25,508 orang telah dihantar pulang ke negara masing-masing, dari Januari hingga November tahun ini. Daripada jumlah itu, seramai 20,015 adalah warga Filipina, 5,286 Indonesia dan 207 dari lain-lain negara. 

"Jumlah 25,508 PATI yang telah dihantar pulang untuk Januari hingga 14 November 2015 adalah suatu kejayaan besar kerana pada 2014 jumlah PATI yang diusir ialah seramai 18,288 orang, manakala pada 2013 seramai 13,222 orang dan pada 2012 seramai 12,551 orang." Tambahnya lagi.

Jumlah PATI yang telah diusir dari Sabah sejak 1990 sehingga ke hari ini ialah 527,192 orang merangkumi 74,210 PATI yang pulang secara Sukarela.

Menurutnya lagi, hampir RM14.5 juta telah digunakan bagi pengurusan proses penghantaran pulang kesemua PATI terbabit.

Cabaran yang perlu dihadapi anggota Ops Bersepadu. Gambar kecil Rodzi Md Saad

"Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan membendung masalah kebanjiran PATI dan usaha ini akan diteruskan demi memastikan Sabah bebas daripada masalah PATI dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang akhbar di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga di sini hari ini.

Selain itu, jumlah terkini PATI yang ditempatkan di PTS di seluruh Sabah ialah 5,894 orang dengan jumlah tertinggi di PTS Papar (2,109); PTS Kota Kinabalu (1,805); PTS Tawau (1,146) dan PTS Sandakan (834). --TERKINITV


Powered by Blogger.