Header Ads

"Biarkan mereka yang zalim ini terima akibatnya"

"Biarkan mereka yang zalim ini terima akibatnya"

Tulisan yang dikongsikan oleh Rush Dan. Baca lagi:


Mari Ajar Mereka

Ini adalah suasana yang mudah kelihatan di mana-mana sekarang. Kondominium, pangsapuri, rumah kedai dan pelbagai aset hartanah berhempas pulas untuk dijual setelah siap dibina. Ini adalah petanda positif yang menggembirakan.

Harga rumah di Kuala Lumpur amatlah tidak masuk akal. Beberapa projek perumahan yang saya lihat-lihat dalam beberapa bulan ini, minimum harga RM400k dan boleh menjangkau RM700k untuk 1000sf. Bermakna minimum harga sekarang RM400/sf. Itupun susah nak jumpa kerana majoriti projek adalah RM500/sf dan ke atas. Lupa pula nak sebut, harga ini adalah untuk kondo/pangsapuri dan bukannya rumah atas tanah!

Kalau nak dikirakan komitmen bulanan untuk membayar rumah, katakan rumah apartment berharga RM400k, dengan tempoh bayaran selama 30 tahun dan kadar faedah semasa 4.45%, tiap-tiap bulan perlu membayar RM1,800 dan duit muka sebanyak RM40,000. Katakanlah seorang jurutera muda yang baru bekerja, rata-ratanya gaji permulaan adalah RM2,800 bersama hutang PTPTN. Mana nak cekau duit? Bayar rumah sahaja dah tinggal RM1,000. Nak bayar ansuran kereta, minyak petrol, makan, taska anak, duit ibu bapa, tol? Tak logik. Itu baru harga rumah RM400k yg seolah-olah hampir mustahil untuk dapat sekarang di KL. Dan lagi satu, itu gaji jurutera. Bayangkan orang lain yang gajinya kurang dari RM2,000?

Ada orang nasihat, tak perlu duduk rumah selesa. Carilah apartment kos rendah, rumah rakyat, walaupun dengan gaji jurutera mampu untuk duduk apartment sederhana. Persoalan saya pula, kalau dah mereka yang bergaji RM2,800 dan ke atas nak berebut-rebut tinggal di apartment kos rendah, yang bergaji rendah pula nak tinggal di mana? Setinggan? Semakin tinggi permintaan apartment kos rendah, akan menyebabkan harganya pula naik. Dan memang sedang berlaku di mana harga rumah kos rendah pun boleh naik sehingga RM250k! Jadi yang berpendapatan rendah nak duduk mana?

Oleh itu, saya dengan rela hati ingin melabel mereka yang mengaut keuntungan dengan perniagaan membeli rumah dan kemudiannya menjualnya dengan harga yang tidak masuk akal dan juga pemaju-pemaju perumahan yang meletakkan harga yang melampau tinggi sebagai zalim dan tidak bertanggungjawab. Ada banyak lagi perniagaan lain yang membawa keuntungan di samping memberikan khidmat kepada orang lain. Dalam kes hartanah ini, mereka yang dengan sengaja membeli dan terus menjual dengan harga yang tidak mampu dibeli sangat menyusahkan orang lain. Bukan sahaja golongan sederhana (jurutera tadi), bahkan golongan berpendapatan rendah juga menerima akibatnya!

Saranan saya kepada yang masih belum membeli rumah, usah gelisah dan keluh kesah. Usah juga membeli walaupun tidak mampu dengan berhutang sana sini. Kelak hutang memakan diri. Teruskan menyewa mengikut kemampuan dan biarkan semakin banyak rumah yang tidak terjual. Semakin banyak tak terjual, mahu ataupun tidak harga rumah akan turun. Biarkan mereka yang zalim ini menerima akibatnya dan belajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab. Tapi kalau asyik gelabah dan takutkan harga rumah akan naik harga rumah akan naik, hidup kita bakal merana kerana beban hutang yang menggunung sebelum umur 30 lagi, dan yang kaya akan terus kaya. Mari kita ajar mereka kali ini.

Saya bukanlah mahir dalam pasaran hartanah mahupun ekonomi. Saya hanya rakyat Malaysia yang belum mampu membeli rumah yang amat kesal dengan sikap segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab. Kini memiliki rumah sudah bertukar daripada keperluan kepada kemewahan. Yang beli rumah hanyalah mereka yang mampu dan kaya.

Powered by Blogger.