Header Ads

 Malaysia bincang guna MSSP tangani ancaman Laut Sulu

Malaysia bincang guna MSSP tangani ancaman Laut Sulu


KLANG: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan bertemu rakan sejawatnya dari Filipina dan Indonesia di Manila Ahad ini, bagi membincangkan cadangan menggunakan model Rondaan Laut di Selat Melaka (MSSP) dalam menangani isu ancaman keselamatan di Laut Sulu.

Hishammuddin berkata, cadangan itu dibuat susulan kejayaan pelaksanaan MSSP sejak penubuhannya pada 2004 lalu, dalam mengurangkan jumlah kes membabitkan aktiviti pelanunan dan rompakan laut.

Menurut statistik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebanyak 37 kes pelanunan dan rompakan laut direkodkan pada 2004, manakala tahun lalu hanya tiga kes direkodkan dan tahun ini sehingga Mei, tiada kes.

"Berdasarkan kejayaan itu, kita bercadang agar inisiaif serupa dilaksanakan di perairan Sulu dengan kerjasama membabitkan Malaysia, Filipina dan Indonesia menggunakan model MSSP.

"Ini kerana, kawasan itu turut menjadi tumpuan aktiviti lanun, rompakan bersenjata dan penculikan. "Saya akan membentangkan kejayaan MSSP ini di Dewan Negara pada esok (hari ini) sebelum membawanya ke Manila, Filipina Ahad ini.

Pertemuan itu nanti akan turut disertai rakan sejawat saya dari Filipina, Voltaire Gazmin dan Indonesia, Ryamizard Rycudu," katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, Hishammuddin melakukan tinjauan udara rondaan MSSP dan menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga KD Mahawangsa Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM).

Yang Turut hadir, Panglima TLDM Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin. Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, ancaman keselamatan di Laut Sulu tidak mampu ditangani oleh sesebuah negara saja.

Bagaimanapun, beliau yakin atas platform ASEAN ia dapat direalisasikan kerana usaha itu adalah salah satu kerjasama peringkat nasional bagi membolehkan isu keselamatan ditangani secara bersama. -BH Plus


Powered by Blogger.