Header Ads

Ribuan hadir dalam Majlis Penghormatan terakhir Muhammad Ali

Ribuan hadir dalam Majlis Penghormatan terakhir Muhammad Ali


LOUISVILLE: Beribu-ribu orang berbaris di tepi jalan di bandar ini hari ini, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Muhammad Ali, lagenda tinju dan wira hak asasi.

Satu perarakan menerusi bandar, pengebumian tertutup dan majlis peringatan menutup upacara penghormatan terakhir selama dua hari untuk juara tinju heavyweight dunia tiga kali itu.

Beliau meninggal dunia pada minggu lalu pada usia 74 tahun selepas sekian lama menderita penyakit Parkinson.

Bermula jam 10.30 pagi waktu tempatan, sejam lewat daripada jadual asal, acara pengebumian bermula di bandar ini dengan 600,000 penduduk.

Louisville sebuah bandar di negeri Kentucky, di selatan Amerika Syarikat ialah tempat kelahiran Ali ketika era pengasingan kaum.

Keranda beliau diarak melalui lokasi penting kehidupannya termasuk rumah ketika zaman kanak-kanak, Ali Center,

Pusat Warisan Afrika Amerika yang menumpukan kehidupan masyarakat kulit hitam di Kentucky dan melalui Boulevard Muhammad Ali sebelum tiba di Tanah Perkuburan Cave Hill untuk disemadikan.

Pemerhati berbaris di tepi jalan, mengambil gambar dan melaungkan nama Ali. Ada yang menunggu di rumah Ali ketika zaman kanak-kanak dan membawa tanda kenangan dan bunga bagi memperingati lagenda tinju itu.

"Kanak-kanak menyukai beliau, Ali sering menjadi harapan untuk kejiranan ini. Untuk golongan muda di sini, beliau adalah contoh," kata Toya Johnson yang memakai kemeja dengan gambar Ali.

Dilahirkan sebagai Cassius Clay pada 1942, peninju itu menang pingat emas Olimpik dan menikmati karier membanggakan dengan pertarungan terkenal seperti "Rumble in the Jungle" dengan George Foreman dan "Thrilla in Manila" dengan Joe Frazier dan kini sebagai lagenda sukan.

Beliau mengejutkan Amerika kerana enggan berkhidmat di Vietnam. Keputusan itu menyebabkan pingat dan karier beliau ditarik balik selama bertahun-tahun.

Beliau pernah diselar kerana kenyataan tidak sopan terhadap seterunya dan pernah dipanggil Frazier sebagai "gorilla".

Namun Ali kemudian meraih penghormatan dunia sebagai aktivis hak asasi yang mempromosikan sifat toleransi agama dan perjuangannya menentang penyakit yang memusnahkan tubuhnya. - AFP

Powered by Blogger.