Header Ads

"Sedih sebenarnya apabila Dr. Mahathir tergamak buat begini" - Hishammuddin

"Sedih sebenarnya apabila Dr. Mahathir tergamak buat begini" - Hishammuddin


KUALA KANGSAR 11 Jun - Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkempen untuk pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar mengguris hati ahli-ahli UMNO.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sendiri sedih apabila Dr. Mahathir mengambil keputusan untuk menyerang kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pentas pembangkang.

“Sedih sebenarnya apabila Dr. Mahathir tergamak buat begini tetapi tidak mengapa kerana akhirnya rakyat yang menilai hal tersebut,” katanya selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Masjid di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kesediaan Dr. Mahathir turun bagi membantu kempen calon pakatan pembangkang pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Bagi PRK Kuala Kangsar, Dr. Mahathir dijangka hadir me­nyampaikan ceramah kira-kira pukul 10 pagi esok di Restoran Chun Ji di sini.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli juga dijangka berada sepentas dengan Dr. Mahathir esok di lokasi yang sama.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pengundi-pengundi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar perlu menilai sendiri keikhlasan Dr. Mahathir terhadap penduduk tempatan apabila sering menggunakan isu berkaitan Najib di pentas pembangkang.

Beliau berkata, fokus mengenai PRK ialah mengenai isu-isu tempatan serta bagaimana membantu menangani masalah penduduk setempat dan ia sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Najib.

“Najib tidak bertanding di ke­dua-dua PRK, jadi apa kaitan Najib dengan kita di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Saya juga pelik pada peringkat awal Dr. Mahathir kata dia sokong pembangkang untuk kalahkan Barisan Nasional (BN) tetapi nampaknya dia hanya bantu kempen PAN sahaja, Pas yang juga sebahagian pembangkang dia tak bantu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pengumuman Najib mengenai peruntukan RM43.5 juta bagi membina jambatan Manong serta Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dinaik taraf menjadi universiti penuh bukan dilakukan untuk memancing undi.

“Kalau kita nak beri ‘gula-gula’ kepada rakyat banyak benda lain boleh kita berikan.

“Apa yang diumumkan oleh Najib semalam merupakan agenda Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad jadi mana yang boleh kita bantu rakyat di sini kita umumkan,” jelasnya.


Powered by Blogger.