Header Ads

"Jaga-jaga pakcik, pakcik pun ada anak." - Aku menyesal pergi jawab begitu

"Jaga-jaga pakcik, pakcik pun ada anak." - Aku menyesal pergi jawab begitu




Perkongsian oleh Khairul Hakimin Muhammad mengenai situasi yang sering dihadapi oleh pasangan yang sudah berkahwin namun masih belum dianugerahkan zuriat.

Bagi ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan yang kurang sensitif, soalan seperti itu sering dilemparkan dan sedikit sebanyak pasti memberikan kesan kepada emosi lagi-lagi bila berkumpul menjelang hari raya kelak. Sama-samalah kita mengambil iktibar dari perkongsian ini.


Masa belum dapat anak dulu, 6 tahun juga hampir berdarah telinga nak dengar soalan bila nak dapat anak?

Aku dengan orang rumah diam dan senyum sahaja. Cuma aku ingat sekali itu aku terjawab ke seorang pakcik ini apabila dia persoalkan aku dan orang rumah tak berubat.

Lalu aku tercakap ke dia,

"Saya takut hati saya tersumpah yang anak pakcik akan kena ujian macam saya. Tak baik persoalkan usaha orang. Takkan semua benda kami nak kena cerita. Jaga-jaga pakcik, pakcik pun ada anak."

Dia ketawakan saya masa saya kata begitu. Katanya, "kau bukan Tuhan nak sumpah-sumpah orang"

Lalu saya pun bangun dan berlalu begitu sahaja.

Beberapa tahun lepas, anaknya berkahwin.

Sehingga hari ini masih belum dapat anak. Dan kami terserempak 2-3 hari lepas.

Beliau tanya saya doktor mana yang saya pergi. Bagaimana kami berubat dan apa usahanya.

Aku terus panik. Tak mungkin dia lupa apa yang dia pernah kata dulu. Aku cakap sahaja doktor sekian-sekian.

Dah balik rumah 2-3 hari ini aku rasa terganggu sangat. Harapnya bukanlah sebab doa atau sumpahan aku itu jadikan anak dia begitu.

Aduh. Walau dulu hati aku sangat-sangat sakit, namun tak mungkin aku mahu kesakitan itu berpindah kepada orang yang tak ada dosa dengan aku.

Hanya kerana dia pernah sakitkan hati aku, tak baik untuk aku menyakitkan hati dia semula. Itu menjadikan aku ini sama ja macam dia. Tak bagus.

Huhu. Sekarang tak boleh tidur. Baru aku tahu menyesalnya pergi jawab begitu. Tuhan ajar kita untuk belajar sabar berhadapan dengan si mulut celupar.

Tuhan nak kita diam. Tanam dalam diri supaya kita tak jadi macam dia. Walau kita boleh jawab dan beri dia terkedu, namun jiwa kita yang terdidik dengan ujian ini patut lebih besar dan luas.

Hari ini, kita menyesal pernah cakap begitu begini. Dia mungkin tidak. Itulah kelebihan kita.

Sesal kita itu dalam bentuk taubat. Sedang dia hanya mahu sesakkan dada berlari ke sana sini mencari ubat. Lalu dia jatuh dan tersembam, lalu luka.

Waktu itu kita bantu. Beri rawat dan balut segala cedera. Hati kita ada rasa suka. Dia pula melihat kita dalam bentuk cinta.

Yang dulunya pernah gores-gores hati kita dengan garfu tajam. Lalu berdarah menitis-nitis tanpa henti bertahun berdekad.

Hari ini, ia sembuh. Kerana sebuah bantu dan tolong. Dalam bentuk ikhlas dan tanpa balas.
Itulah nama kelegaan. Dendam tidak, perang pun tidak. Yang ada hanya doa-doa berupa kebaikan.

Ya kawan, memang kena belajar bab orang baling batu, terus kena kepala kita dan luka. Kita pun balut dan rawat segera. Sudah sembuh, kita siapkan kuih keria gula Melaka, hantar sepiring dengan senyuman paling manis di dunia.

Biar perutnya terima. Bibirnya bergetar. Lalu hatinya berbunga. Dan kita berbaik dan berkawan semula.

Buat jahat dibalas kebaikan itu memang ya sebuah kesusahan yang amat sangat. Namun, itulah syurga.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Sesal tak sudah.

Powered by Blogger.