Header Ads

"Saya sangat terkilan. Sekarang semua ahli keluarga saya sudah tiada"

"Saya sangat terkilan. Sekarang semua ahli keluarga saya sudah tiada"


JEMPOL: "Saya tak sangka kejadian ini boleh berlaku," luah Wan Muhammad Hazim Wan Mohd Fauzi, 19, setelah enam ahli keluarganya maut dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Keratong-Bahau, dekat Ladang Risda Palong, Jempol, pada jam 2.20 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, semua enam ahli keluarganya yang maut akibat rentung iaitu bapanya Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51; ibunya Mas Noraida M Yusoff, 45; abangnya Wan Mohd Muhaimin, 22, dan tiga adiknya Wan Nor Athirah, 18; Wan Mohd Amar Haziq, 13, dan Wan Nor Alisha, 7.

Menurut sumber, punca kemalangan berlaku apabila Proton Exora yang dinaiki ahli keluarganya bertembung dengan sebuah treler yang memasuki laluannya sebelum kenderaan mereka dihempap treler tersebut.

"Saya sangat terkilan. Sekarang semua ahli keluarga saya sudah tiada," katanya dalam nada sebak kepada wartawan ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Jempol di sini, hari ini.

Menurut WanMohd Hazim lagi, ayahnya berkali-kali mengajak dia bersama-sama mengikutnya ke Kuantan untuk menghantar adik (Wan Nor Athirah) yang akan memulakan semula pengajian di Kolej Vokasional Kuantan selepas bercuti, tetapi dia menolak kerana mempunyai urusan perniagaan.

"Saya jarang mengikuti keluarga kerana saya bekerja. Saya sekarang jadi serba salah kerana tidak mengikut mereka" katanya.

Pada mulanya dia hanya dimaklumkan hanya bapanya yang terlibat dalam nahas tersebut, tetapi tidak mengetahui nasib ibu dan 4 adik beradiknya yang lain.

"Anggota polis itu hanya memaklumkan ayah saya terlibat kemalangan dan tidak pula memberitahu mengenai nasib lima lagi anggota keluarga saya."

"Tetapi pada jam 8 malam, saudara memberitahu semua ahli keluarga saya meninggal dunia," katanya yang reda dengan tragedi menjelang Aidilfitri itu.

Wan Muhammad Hazim yang kini yatim piatu berkata, dia dapat mengesahkan yang terkorban itu adalah ahli keluarganya berdasarkan pakaian yang dipakai oleh Wan Nor Athirah.

Katanya, jenazah semua ahli keluarganya itu dijangka dibawa pulang ke kampung di Melor, Kelantan untuk urusan pengebumian sejurus selesai proses bedah siasat yang dijangka dilakukan esok.

Kemalangan itu turut meragut dua nyawa suami isteri yang menaiki Perodua Myvi iaitu Osman Mohamed Taip, 31; dan Rosniza Othman, 32, manakala anak lelaki berusia tiga tahun parah. Pemandu treler dan Toyota Vios dilaporkan tidak mengalami kecederaan.









Powered by Blogger.