Header Ads

"...yang paling menderita ialah mak"

"...yang paling menderita ialah mak"

Gambar hiasan

Perkongian oleh Khairul Hakimin Muhammad yang amat memberi kesan. Jika ada pergeseran sesama ahli keluarga lebih-lebih lagi kepada ibu sendiri, inilah masanya untuk kita mendapatkan kemaafannya.

Pagi tadi aku telefon emak aku. Suaranya perlahan sahaja. Beliau cerita yang hari ini mahu siapkan kuih raya yang ditempah dari Machang, Kelantan.
Abang sulung yang menetap di sana memang setiap tahun menjadi ejen paling efektif di antara kami. Power betul. Jadi minggu akhir puasa, abang di Mentakab akan buat penghantaran ke Padang Tungku, abang yang sulung akan tunggu di situ. Kira tempat pertemuan. He he he.

Aku teringat kisah aku dulu. Aku pernah bergaduh dengan kakak aku bab kuih-kuih ini. Suruh dia bantu namun dia sendiri ada komitmen. Aku pun hangin.

Emak aku masuk campur, lalu emak menangkan kakak. Waktu itu aku tak faham kenapa. Lalu aku terus naik motor, press kuat-kuat dan pulang ke Kuala Lumpur.

Aku buat bodoh sahaja. Lantaklah.

Aku tak terfikir pun emak akan bersedih. Yang aku tahu adalah aku ini patut dihargai kerana menolong emak.

Sudah tua-tua begini baru aku sedar suatu perkara.

Itu kakak aku, dan aku patut tanya dia dulu sama ada dia boleh bantu atau tidak. Jika ok, syukur. Jika tidak, aku kena terima. Aku takkan boleh kawal dia. Dia sendiri wajar untuk tolak pertolongan kerana dia ada hak berbuat begitu. Dan aku tidak boleh berkecil hati.

Dan aku sebagai adik, tetap kena hormat dia. Inilah yang emak aku mahu tanam pada diri anak-anak.

Walau aku hebat, kakak aku tidak, aku tetap kena hormat.

Titis cinta sesama adik beradik ini datangnya dari tolak ansur. Kemudiannya lahirlah kasih sayang yang tak pernah bertepi. Kita sama sahaja manusia, sembah pula Tuhan yang sama. Darah kita ini pula dipam dan disalur dari punca yang sama.

Jadi sedikit benci kerana bergeser tidak sepatutnya menjadi pusat kurang ajar dengan emak. Dengan kakak, dengan keluarga.

Hari ini tinggal beberapa hari sahaja lagi nak raya. Wahai adik-adik, wahai kakak-kakak, wahai abang-abang, jika kalian sedang bergeser sesama kalian, ketahuilah yang paling menderita ialah emak.

Berbuat kuih pun teringatkan anak. Menanak nasi pun teringatkan anak. Mengasuh cucu pun teringatkan anak.

Biarlah kena marah, telanlah.
Biarlah kena pukul, hadaplah.
Biarlah kena tengking, herdik, sabar sahajalah.

Itulah emak kita. Satu-satunya.

Marah, pukul, tengking, herdik dan sabar itu semuanya kerana sayang. Jika tidak, takkan emak sanggup menegur kesilapan walau sudah berbongkok-bongkok tua. Itu semua kerana cinta.

Usahanya mendidik anak-anak adalah kerana ingin bersua nanti di syurga. Bukan saja-saja.

Wahai semua, sebelum ramadan berakhir, pulang, bersalam, dan peluklah.

Semoga luruh segala dosa. Dan kalian semua kembali berkeluarga.

Pulanglah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Rindu.



Powered by Blogger.